Tekan Ayat

29 November 2010

Jeans

Filed under: Aku,Duit — tekanayat @ 00:02

BARU-baru ini, lagu-lagu Bon Jovi kerap diputarkan di radio. Apatah lagi band rock yang berasal dari New Jersey di Amerika Syarikat itu baru sahaja menerima anugerah Ikon Global MTV Eropah pada awal bulan ini. Memang band ini layak dinobatkan sebagai Ikon global apatah lagi ia pantas mengembalikan nostalgia trend yang dipopularkan oleh Jon Bon Jovi pada akhir 1980-an iaitu seluar jean koyak di lutut.

Walhal sebelum itu, jean yang koyak tidak sengaja (akibat terjatuh), terus tidak dipakai lagi. Ia dianggap sudah rosak dan malu dipakai di khalayak umum waima ke pasar minggu. Trend jean koyak Bon Jovi merubah persepsi sedemikian. Kalau koyak setakat saiz duit syiling 50 sen, rabakkannya lagi jadi sampai berjuntai, keluar raut-raut benang.

Di sebelah dalamnya boleh dibiar menunjukkan kepala lutut atau peha; atau ditampal dengan lapisan jeans yang lain. Ia adalah ‘fesyen yang gila’, kata ibu ketika itu. Ya, saya masih memiliki gambar memakai jean tersebut. Tetapi hari ini, susah sikit untuk sesiapa menyakinkan saya agar memakai jean koyak seumpamanya walaupun saya tidak keberatan berkaraoke lagu You Give Love A Bad Name.

Boleh dikatakan hampir semua daripada kita mesti ada memiliki sekurang-kurangnya sepasang jean dalam almari pakaian. Malah, kanak-kanak berusia dua tahun pun ada, apalagi warga emas. Seluar jean wajib ada.

Seluar jeans yang menggunakan fabrik denim telah dikeluarkan secara besar-besaran di Amerika Syarikat sejak tahun 1830-an lagi. Putaran tenunan denim menghasilkan ketebalan fabrik dan sekali gus lebih lasak berbanding seluar yang diperbuat daripada bahan lain. Atas faktor tersebut, denim telah lama digunakan sebagai pakaian seragam untuk pelaut, petani, koboi dan buruh. Bermakna asal kewujudan jean atau pakaian denim, bukan sebagai produk fesyen. Malah, kemunculan jenama Levi’s asalnya adalah sebagai pembekal pakaian kerja bagi pelombong emas di California. Atas faktor ia dikaitkan dengan golongan pekerja, pemakaian jean pada awalnya dianggap sebagai ‘berkelas rendah’.

Pemakaian jean sebagai fesyen hanya berkembang pada 1970-an di mana permintaan bagi pakaian denim meningkat, sekali gus menjadi simbol status. Antara senario yang nyata ialah jean masih tidak diterima sebagai pakaian yang boleh dipakai ke semua acara. Misalnya, sesiapa yang memakai jean ke majlis-majlis rasmi dianggap tidak menghormati orang yang menjemput mereka. Malah, kebanyakan universiti awam di Malaysia mengenakan larangan ketat kepada siswa-siswi agar tidak berseluar jean ke dewan kuliah. Patutnya tidak perlulah melarang macam pemerintahan junta tentera pula. Izinkan pelajar memakai jean kerana seluar ini mudah dijaga dan dipakai berulang kali selama seminggu (jimat kos dobi) dan tahan lama (boleh pakai sampai konvokesyen). Cuma, beritahulah pelajar agar jangan pakai seluar ala-Bon Jovi atau ketat di bahagian punggung.

Status sosial jean merangkumi pemakaian seluar jean walaupun dengan kot dan tali leher melambangkan ‘pencapaian individu’. Baju dan kotnya mencerminkan kekayaan/ kejayaan yang sudah diraih, dan seluar jean adalah simbol kepada ‘kebebasan’ yang dikecapinya, hasil daripada kekayaan / kejayaan berkenaan. Dalam filem Old Dog, John Travolta sebagai pemilik firma pemasaran nyata hebat berkot hitam, bertali leher yang dipadankan dengan seluar jean biru, berkasut kulit.

Pemakaian jean juga melambangkan ‘pemberontakan’. Pelakon Hollywood yang mati muda akibat kemalangan kereta, James Dean terkenal dengan imej baju T berwarna putih dan seluar jean. Ia dikatakan simbol kepada kedewasaan seseorang individu, keluar daripada kepompong remaja, tidak mahu dikongkong dan ‘berani buat dulu, fikir kemudian’.

Jika anda mengikuti fesyen yang diperagakan oleh David Beckham, pasti anda perasan seluar ketat pada kaki dengan paras pinggang di bawah pusat. Ia menyerupai jean yang dipakai isterinya, Victoria. Bukan dia meminjam seluar Victoria tetapi inilah trend hari ini dipanggil ‘skinny jean’. Fesyen jean yang boleh dinikmati oleh kedua-dua jantina. Ia sesuai untuk orang kurus tetapi sangat tidak sesuai untuk orang yang boroi.

Mendatar

Pada 1980-an, satu fesyen jean khas untuk wanita turut popular di negara ini. Seluar itu sampai ke pusat, kembang di bahagian belakang dan peha, mengecil di kaki diistilahkan ‘mom jeans‘. Ia bermaksud wanita yang bergelar ibu, sudah tidak kisah lagi mengenai bentuk tubuhnya dan jean tersebut nampak mendatar, jauh dari menarik. Kembar pada istilah ini ialah ‘dad jeans’. Tahun lalu, Presiden Barack Obama dikaitkan dengan istilah itu setelah dilihat memakai jean yang lurus bendul semasa menonton perlawanan besbol.

Dulu, ramai orang akan cuba menjaga jean mereka daripada luntur sebelum waktunya. Kekalkan keaslian warna birunya selama mungkin, agar nampak baru selalu. Hari ini, anda boleh pilih jean yang sepudar-pudar (dipanggil stoned wash) warna kerana inilah trend hari ini. Jika anda peminat hip hop, jean yang dicari ialah kembang dan labuh. Di Barat, kebanyakannya adalah pemuda Afrika-Amerika yang berbadan besar dan gempal. Di Malaysia, banyak yang kurus dan rendah. Bila memakai jean labuh, yang kelihatan hanyalah seluar lebih besar daripada si pemakainya.

Simbol status jean dewasa ini juga dinilai daripada jenama jean yang dimiliki. Ia diistilahkan sebagai ‘designer jean‘ atau jean pereka iaitu bukan jenama jean yang standard ditemui di pasar raya. Ia lazimnya dijual di butik khusus di kompleks membeli-belah tertentu sahaja. Terdapat pelbagai jenama jean yang ada di pasaran Malaysia hari ini.

Skinny jean berjenama seperti Jordache, D&G, Calvin Klein, Diesel, Guess?, Sergio Valente, Sasson, Gloria Vanderbilt, Parasuco, Armani dan beberapa lagi tidak datang dengan harga yang murah. Ia berharga RM500 ke atas. Selain itu, kecenderungan syarikat-syarikat automotif global memperkenalkan aksesori gaya hidup iaitu pakaian yang menepati pemilikan kereta mereka seperti BMW, Lotus, Mercedes-Benz juga menambahkan glamor dan prestij pemakainya.

Tetapi persoalannya, berapa ramaikah antara kita yang sanggup membeli seluar jean berjenama seumpamanya sehingga mencecah harga ribuan ringgit? Jenama Levi’s pun di sekitar harga RM230 ke atas dan ada jean edisi terhadnya yang dijual sehingga RM1,000 sepasang. Di kota-kota besar di Malaysia, memang ada permintaan bagi jean sedemikian. Jika tidak, masakan banyak premis menjualnya?

Blog di WordPress.com.